Pening, muntah, tiada selera makan dan sentiasa letih sepanjang tiga bulan pertama aku hamil anak ketiga. Tidak seperti yang pertama dan kedua aku tidak mengalami sebarang alahan yang teruk. Namun ku gagahi juga ke tempat kerja dan membuat rutin harian biasa.
Bulan silih berganti, kandunganku hampir pada tarikh jangkaan bersalin. Jangkaannya pada 27 April 2010, namun, sehingga tarikh itu masih tiada tanda melahirkan. Doktor memberi tempoh enam hari lagi dan memberikan surat kemasukkan wad pada 3 Mei 2010 sekiranya aku tidak bersalin lagi dalam tempoh tersebut. Tibalah 3 Mei 2010, aku pergi ke hospital bersama-sama dengan suamiku. Setelah mendaftar, jururawat memanggilku untuk melakukan pemeriksaan seperti biasa. Jururawat tersebut kemudiannya memanggil doktor yang bertugas untuk mendengar degupan jantung bayi. Doktor memberitahu bahawa dia tidak dapat mendengar dengan jelas degupan jantung bayi di dalam kandunganku itu. Aku mulai risau. Seorang lagi doktor datang dan cuba melihat keadaan bayiku dengan menggunakan 'ultrasound machine'. Tetapi, masih tidak memuaskan hati doktor tersebut. Aku dibawa ke dalam wad untuk membuat 'electrocardiogram(ECG)', doktor tidak berpuas hati dengan hasilnya lalu terus dibawa ke dalam dewan bersalin dan doktor yang bertugas di dalam dewan bersalin itu memberitahu sekiranya pemeriksaan terakhir untuk mendengar degupan jangtung bayiku dengan menggunakan 'inner probe' tidak memuaskan juga, aku terpaksa dibedah. Doktor memecahkan air ketuban dan pemeriksaan dilakukan selama beberapa minit. Keputusannya juga sama seperti sebelumnya lalu doktor terus memutuskan aku bersalin secara 'ceasarean' dengan segera kerana takut bayi lemas. Jururawat terus memanggil suamiku dan memberitahu keputusan doktor itu.
Tanpa melengahkan masa, aku terus dibawa ke dewan bedah. Tepat jam 2.13 petang doktor berjaya mengeluarkan bayiku dengan selamat dan segera dibawa ke dalam sebuah bilik untuk pemeriksaan. Beberapa minit kemudian, seorang jururawat membawa anakku yang sungguh comel kepada ku dan meletakkannya di atas dadaku. Aku amat bersyukur kerana mendapat seorang bayi perempuan dan dapat melihatnya sejurus selepas pembedahan itu. setelah siap semuanya aku ditempatkan di dalam wad bersama-sama dengan anakku.
Keesokkan harinya, seorang doktor datang dan memberitahu anakku terpaksa dibawa ke unit rawatan rapi kanak-kanak kerana kadar denyutan nadinya perlahan, tidak seperti bayi yang normal. Aku hanya dapat mengiakan sahaja. Setelah dua hari menjalani pemeriksaan, doktor pakar kanak-kanak mengesahkan anakku mengalami masalah jantung yang dipanggil 'Patent ductus arteriosus (PDA)'. Aku dan suamiku redha dengan berita itu walaupun luluh hati mendengarnya. Namun begitu, doktor menyarankan agar kami merujuk kepada Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
Alhamdulillah, kini anak perempuanku yang diberi nama Sri Ayeesyah kini semakin sihat setelah menjalani pembedahan pada Disember 2010 di IJN. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua doktor dan jururawat yang sentiasa menghulurkan bantuan ketika kami memerlukan. Kepada Sri Ayeesyah, mama dan papa akan sentiasa mendoakan dirimu agar dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang hayatmu.AMIN.
No comments:
Post a Comment